Sunday, November 11, 2007


Sejarah tidak boleh ditipu mahupun menipu. History atau Tarikh merupakan diari kehidupan yang tidak mungkin dapat dipisahkan bagi semua orang. Kehidupan ini dikitari oleh sejarah dan bersifat dwifungsi iaitu negatif dan positif.
Sejarah yang berfungsi negatif merujuk kepada sejarah yang bersifat baik pada awalnya tetapi mempunyai natijah yang tidak baik atau pada awal penceritaannya sehingga akhirnya mempunyai natijah yang sukar untuk diambil sebagai nilai hidup masyarakat.
Sejarah yang bersifat positif adalah sebaliknya. Walau bagaimanapun, pembawaan sejarah itu sendiri adalah moral cerita dan sempadan yang boleh dijadikan panduan untuk pencapaian hidup yang lebih baik.
Ibn Khaldun di dalam mukadimmahnya meletakan suatu proses hayat (kitaran kehidupan) sebagai asas kepada pembentukan suatu bangsa. Ianya dipanggil ilmu kemasyarakatan atau sosiologi ringkas mengenai naik turun sesuatu bangsa. Proses kehancuran sesuatu bangsa itu boleh dilihat ketika mereka telah mencapai satu puncak yang pada akhirnya menjerumuskan mereka ke arah kehancuran. Nilai yang terdapat di sini ialah nilai negatif yang berkesudahan dengan kemusnahan bangsa itu sendiri. Kemusnahan apakah yang akan berlaku bergantung kepada nilai apakah yang mereka bawa dan juga impak yang akan berlaku seterusnya. Ibn Khaldun melihat proses ini sebagai keruntuhan nilai tradisi Islam yang mempunyai kecelaruan dengan nilai moral sesuatu bangsa itu. Contohnya kekalahan Andalusia di tangan Isabella dan Ferdinand adalah disebabkan oleh kebobrokan pemerintahnya yang bersifat materialistik dan bermoral negatif. Secara tidak sedar nilai yang mereka ada telah menjatuhkan taraf mereka dan meletakkan moral mereka di bawah tahap kehinaan dan melenyapkan kebudayaan mereka yang selama ini dibina di atas nilai kemanusiaan dan keIslaman.
Begitu juga di dalam konteks China kuno NeoConfusius (Toism) di dalam ajarannya menyatakan bahawa kecelakaan sesuatu wangsa itu ada kaitannya dengan nilai moral mereka yang telah menyeleweng dan mengakibatkan kemurkaan dewa tertinggi mereka di Syurga. Maka dengan hal inilah sesuatu wangsa itu tidak akan memerintah dengan lebih lama dan akan ditukarkan dalam bentuk natijah peperangan mahupun atas sebab pemberontakan dalaman.
Sejarah adalah fitrah dan natijahnya harus diambil sebagai teladan kepada mereka yang hidup sesudahnya. Manusia yang waras adalah manusia yang tahu menilai sejarah.
Mengapa Sejarah itu membosankan? Saya pernah terbaca suatu laman blog yang menceritakan akan kepayahan moderatornya mempelajari Sejarah Malaysia. Kesudahannya, kelas itu dipenuhi dengan mereka yang bermata mengantuk menanti untuk disorongkan bantal.
Mengapa ianya jadi sebegini rupa. Adakah metodologi sesetengah pengajar itu menyebabkannya tidak digemari dan kesudahannya mengantuk dan bosan. Minat saya di dalam mata pelajaran sejarah telah disemai dan disuburkan sejak berada di dalam tahun empat lagi apabila matapelajaran Alam dan Manusia masih lagi menjadi suatu subjek di kurikulum Sekolah Rendah pada ketika itu. Di dalam subjek koprehensif ini terkandung tiga komponen elektif iaitu Sejarah, Sains dan Geografi. Tiga komponen inilah yang mendorong saya mengenali apa itu keajaiban Tuhan.
Metodologi sebenarnya penting tetapi apa yang lebih penting ialah sejarah bukannya sesuatu yang dipelajari untuk hanya mengenali siapakah Tun Perak, Datuk Maharajalela ataupun tokoh-tokoh, tarikh-tarikh penting mahupun sebab dan akibatnya. Tetapi kejutan kepada satu-satu topik itu. Misalnya Datuk Maharajalela bersikap ego kerana tidak mahu mematuhi peraturan Residen British dan perintah Raja Ismail yang menjadi Sultan pada ketika itu. Akibatnya Datuk Maharajalela dianggap sebagai penderhaka kepada Sultannya walaupun ramai yang berpendapat beliau seorang negarawan bagi tanah airnya. Kenapa hal ini berlaku? Hal ini kerana Datuk Maharajalela tidak mempunyai kebaikan di mata rakyat melainkan beberapa pembodek di kalangan pembesar tempatan yang tergugat dengan larangan mengambil cukai di kawasan pemakanan masing-masing.
Begitu juga dengan sejarah Dato’ Onn yang merajuk lalu meninggalkan UMNO hanya kerana permintaannya untuk membawa masuk bukan Melayu menganggotai UMNO telah disalahanggap untuk Memalayankan UMNO dari dalam. Kejutan sebegini walaupun bernada negatif dan akan menimbulkan konflik tetapi bersifat objektif dan akan menarik perhatian para pelajar subjek sejarah untuk datang lebih dekat lagi kepada subjek ini.
Sensasinya sesuatu peristiwa itu adalah sejarah dan natijah kepada sejarah itu sendiri adalah datang kepada isu yang pahit untuk ditelan, tetapi dibuang menjadi kesayangan. Mahupun manis ditelan, tetapi menjadi penyakit kemudiannya.
Sejarah amat menyeronokkan lagi jika kita mengaitkan bahawa tokoh seperti Hang Tuah itu adalah figura yang menggambarkan kepada kegemilangan seseorang pada zamannya dan Hang Jebat itu disamakan dengan api di dalam sekam mahupun Musang Jebat ingin mencari ayam mengintai dan menerkam jika mempunyai peluang.
Sejarah adalah mencari pembetulan kepada sejarah yang telah dicatitkan dan positifnya ialah ahli sejarah terdahulu tidak semestinya bersalah kerana melaporkan sesuatu peristiwa yang salah. Kerana laporan itu jugalah yang akan dikaji bagi menentukan kerelevannya.
Walau bagaimanapun sesorang yang terbabbit di dalam bidang ini mesti lah beretika di dalam membincangkan subjeknya kerana isu yang begitu sensistif tanpa melihat kepda natijhnya akan terkena kepada si pelapor kerana di kalangan akademia, wujudnya konflik keuntungan di dalam diri masing-masing dan ada perasaan yang menbal di dalam jiwa mereka dengki dan hasad.
Sebenarnya mempelajari sejarah mendekatkan diri kita kepada keresahan di hari kiamat dan mendekatkan diri kita kepada Khalik.