Wednesday, June 28, 2006

APA YANG SEPATUTNYA KITA TAHU

Tambak Johor, siapa pemilik sebenarnya?
Siapa pemilik Tambak Johor - satu persoalan yang perlu dijawab terlebih dahulu sebelum kerajaan Malaysia atau Singapura memutuskan untuk merobohkannya.
Jabatan Peguam Negara disarankan mengkaji dan mencari segala dokumen sejarah tentang Tambak Johor, termasuk yang masih tersimpan di London, sebelum mengambil sesuatu keputusan tentangnya. Menurut pengkaji sejarah, stautus pemilik Tambak Johor agak samar, oleh itu ia tidak boleh dirobohkan sewenang-wenangnya.
Pengkaji sejarah berkenaan, Zaaba Abdul Samad berkata, berdasar dokumen sejarah, Tambak Johor dimiliki oleh oleh dua pihak iaitu Singapura dan kerajaan Johor.
"Soal pemilik Tambak Johor itu sehingga kini masih samar kerana terdapat beberapa dokumen sejarah yang mengatakan bahawa kerajaan Singapura yang ketika itu diperintah oleh British dan pihak Municipal Singapura turut berkongsi membayar kos pembinaan jalan raya dan laluan pejalan kaki di Tambak tersebut," kata Zaaba Abdul Samad kepada Bernama.
Katanya dokumen mengenai perkongsian pembayaran bagi pembinaan jalan raya dan pejalan kaki di Tambak Johor berusia 82 tahun itu dinyatakan secara terperinci dalam buku berjudul "Hikayat Johor ke-2," yang diterbitkan oleh Pejabat Cetak Kerajaan Negeri Johor pada 1951. Dalam buku itu, perkara mengenai pembinaan jalan kereta api, jalan raya dan laluan pejalan kaki di tambak itu disebut di bawah perkara "Perihal Membina Jalan Tambak Melintang Selat Tebrau dan Perihal Municipal Singapura Memakai Air Gunung Pulai" pada muka surat 244. Pengarang buku itu adalah Mejar Mohd Said Sulaiman yang merupakan Datuk Paduka Setia Raja dan Setiausaha Sulit kepada Sultan Johor ketika itu, Sultan Ibrahim.
Isu perobohan Tambak Johor untuk digantikan dengan sebuah jambatan baru telah menimbulkan ketidakselesaan dalamm hubungan Malaysia dan Singapura sejak awal tahun ini. Malah tindakan kerajaan membatalkan cadangan pembinaan jambatan baru itu pada Mac lalu telah juga dikritik oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana sebelum itu pemimpin kedua-dua negara telah bersetuju untuk membinanya.
Zaaba berkata, berdasarkan dokumen sejarah berkenaan, Tambak Johor yang dibina pada 24 April 1920 itu pada mulanya hanya dirancang untuk menempatkan laluan kereta api sahaja tetapi akhirnya dipersetujui untuk turut mempunyai jalan raya untuk kenderaan dan laluan pejalan kaki. Katanya bagi pembinaan laluan kereta api itu sahaja, kerajaan Johor membayar penuh kos kemudahan itu iaitu RM12.285 juta tetapi ia kemudian mahukan tambak itu turut menyertakan jalan raya serta laluan pejalan kaki. Zaaba berkata kerajaan British mahukan kerajaan Johor pada ketika itu membayar sepenuhnya kos pembinaan kemudahan jalan raya dan laluan pejalan kaki di tambak bernilai RM4.735 juta tetapi Sultan Ibrahim enggan. Oleh kerana tiada persetujuan tentang pembayaran bagi kerja pembinaan dua kemudahan tambahan itu, Sultan Johor dan Penasihat Am Johor ketika itu telah ke London untuk merundingkan isu berkenaan. Sebelum berlangsungnya upacara perasmian Tambak Johor pada 24 Julai 1924, kedua-dua pihak telah mencapai kata sepakat mengenai isu pembayaran, dengan kerajaan Johor bersetuju membayar RM3.178 juta.
Sejarah Johor
Memorandum penyelesaian tentang isu pembayaran dua kemudahan itu menyatakan bahawa kerajaan Singapura bersetuju untuk membayar RM1.362 juta manakala Municipal Singapura pula membayar sebanyak RM214,371. "Singapura turut membayar pembinaan Tambak Johor itu, jadi apakah status mereka?" soal Zaaba. Pengkaji sejarah itu juga berkata, kedudukan yang samar tentang pihak yang memiliki Tambak Johor itu juga dijelaskan dalam buku "Sejarah Johor" karya Buyong Adil dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1971. Buyong Adil merupakan penulis sejarah, lulusan Malayan Training College, Kirby, United Kingdom.
Pada muka surat 311 buku Sejarah Johor, Buyong menulis: "Setelah kira-kira empat tahun lamanya orang-orang bekerja siang malam, siaplah dibuat Tambak Johor yang menyambungkan jalan kereta api dan jalan raya dari Johor Baharu ke Singapura iaitu sepanjang 3,456 kaki." "...separuh bahagian arah ke Singapura, masuk perintah Johor dan separuh bahagian arah ke Singapura, masuk perintah Singapura."
Zaaba berkata buku "Sejarah Johor" dan juga memorandum persetujuan tentang kos pembayaran pembinaan jalan raya serta laluan pejalan kaki di Tambak itu membuktikan bahawa kajian perlu dijalankan lebih teliti tentang segala perkara mengenai Tambak Johor. Katanya walaupun perkara tentang tambak seperti di dalam kedua-dua buku itu bukan perjanjian, namun ia merupakan dokumen sejarah yang penting dan akan tetap diguna pakai dalam mahkamah jika timbul pertikaian. Menurut beliau, Jabatan Peguam Negara perlu melakukan kajian dan mencari segala dokumen sejarah tentang Tambak Johor, termasuk yang masih tersimpan di London, sebelum mengambil sesuatu keputusan tentangnya. Beliau yakin pihak Singapura telah melakukan kajian tentang segala dokumen sejarah mengenai Tambak Johor dan ini merupakan sebab utama di sebalik alasan kuat mereka bahawa Malaysia tidak mempunyai hak untuk merobohkan tambak itu walaupun di bahagiannya yang terletak di negara ini tanpa persetujuan republik itu. "Sebab itu mereka yakin walaupun sebahagian tambak itu di dalam Malaysia tetapi mereka tetap berhak terhadapnya," kata Zaaba sambil menjelaskan beliau sedia ke London untuk mencari dokumen-dokumen sejarah tentang Tambak Johor. Kerajaan Malaysia pada mulanya mahu membina sebuah jambatan bagi menggantikan sebahagian daripada tambak itu tetapi membatalkannya selepas mengambil kira "sentimen rakyat" negara ini dan tuntutan Singapura supaya ia dibenarkan menggunakan ruang udara Malaysia untuk pesawat pejuangnya. (www.malaysiakini.com)

Komen Penulis Blog: Tulisan ini diambil daripada laman malaysiakini.com. Penulis mengakui bahawa kredibiliti tulisan ini adalah tulen dan dikaji betul dari aspek sejarah. Oleh itu sebelum kita membuka mulut untuk berkata sesuatu perlulah kita merujuk Sejarah. Kerana sejarah bukan sahaja bahan bacaan tetapi ilmu melangkaui sempadan. Hatta kita seorang Doktor atau Perdana Menteri.